Wednesday, June 11, 2008

RABI’AH AL ADAWIYAH


Perindu Cinta Allah

Rabi’ah binti Ismail al-Adawiyah tergolong wanita sufi yang terkenal dalam sejarah Islam. Dia dilahirkan sekitar awal kurun kedua Hijrah berhampiran kota Basrah di Iraq. Dia lahir dalam sebuah keluarga yang miskin dari segi kebendaan namun kaya dengan peribadatan kepada Allah. Ayahnya pula hanya bekerja mengangkut penumpang menyeberangi Sungai Dijlah dengan menggunakan sampan.

Pada akhir kurun pertama Hijrah, keadaan hidup masyarakat Islam dalam pemerintahan Bani Umaiyah yang sebelumnya terkenal dengan ketaqwaan telah mulai berubah. Pergaulan semakin bebas dan orang ramai berlumba-lumba mencari kekayaan. Justeru itu kejahatan dan maksiat tersebar luas. Pekerjaan menyanyi, menari dan berhibur semakin diagung-agungkan. Maka ketajaman iman mulai tumpul dan zaman hidup wara’ serta zuhud hampir lenyap sama sekali.
Namun begitu, Allah telah memelihara sebilangan kaum Muslimin agar tidak terjerumus ke dalam fitnah tersebut. Pada masa itulah muncul satu gerakan baru yang dinamakan Tasawuf Islami yang dipimpin oleh Hasan al-Bashri. Pengikutnya terdiri daripada lelaki dan wanita. Mereka menghabiskan masa dan tenaga untuk mendidik jiwa dan rohani mengatasi segala tuntutan hawa nafu demi mendekatkan diri kepada Allah sebagai hamba yang benar-benar taat.
Bapa Rabi’ah merupakan hamba yang sangat bertaqwa, tersingkir daripada kemewahan dunia dan tidak pernah letih bersyukur kepada Allah. Dia mendidik anak perempuannya menjadi muslimah yang berjiwa bersih. Pendidikan yang diberikannya bersumberkan al-Quran semata-mata. Natijahnya Rabi’ah sendiri begitu gemar membaca dan menghayati isi al-Quran sehigga berjaya menghafal kandungan al-Quran. Sejak kecil lagi Rabi’ah sememangnya berjiwa halus, mempunyai keyakinan yang tinggi serta keimanan yang mendalam.

Menjelang kedewasaannya, kehidupannya menjadi serba sempit. Keadaan itu semakin buruk setelah beliau ditinggalkan ayah dan ibunya. Rabi’ah juga tidak terkecuali daripada ujian yang bertujuan membuktikan keteguhan iman. Ada riwayat yang mengatakan beliau telah terjebak dalam kancah maksiat. Namun dengan limpah hidayah Allah, dengan asas keimanan yang belum padam di hatinya, dia dipermudahkan oleh Allah untuk kembali bertaubat. Babak-babak taubat inilah yang mungkin dapat menyedar serta mendorong hati kita merasai cara yang sepatutnya seorang hamba brgantung harap kepada belas ihsan Tuhannya.

Marilah kita teliti ucapan Rabi’ah sewaktu kesunyian di ketenangan malam ketika bermunajat kepada Allah:

“Ya Allah, ya Tuhanku. Aku berlindung diri kepada Engkau daripada segala yang ada yang boleh memesongkan diri daripada-Mu, daripada segala pendinding yang boleh mendinding antara aku dengan Engkau!

“Tuhanku! bintang-bintang telah menjelma indah, mata telah tidur nyenyak, semua pemilik telah menutup pintunya dan inilah dudukku di hadapan-Mu.

“Tuhanku! Tiada kudengar suara binatang yang mengaum, tiada desiran pohon yang bergeser, tiada desiran air yang mengalir, tiada siulan burung yang menyanyi, tiada nikmatnya teduhan yang melindungi, tiada tiupan angin yang nyaman, tiada dentuman guruh yang menakutkan melainkan aku dapati semua itu menjadi bukti keEsaan-Mu dan menunjukkan tiada sesuatu yang menyamai-Mu.

“Sekelian manusia telah tidur dan semua orang telah lalai dengan asyik maksyuknya. Yang tinggal hanya Rabi’ah yang banyak kesalahan di hadapan-Mu. Maka moga-moga Engkau berikan suatu pandangan kepadanya yang akan menahannya daripada tidur supaya dia dapat berkhidmat kepada-Mu.”

Rabi’ah juga pernah meraung memohon belas ihsan Allah SWT:

“Tuhanku! Engkau akan mendekatkan orang yang dekat di dalam kesunyian kepada keagungan-Mu. Semua ikan di laut bertasbih di dalam lautan yang mendalam dan kerana kebesaran kesucian-Mu, ombak di laut bertepukan. Engkaulah Tuhan yang sujud kepada-Nya malam yang gelap, siang yang terang, falak yang bulat, bulan yang menerangi, bintang yang berkerdipan dan setiap sesuatu di sisi-Mu dengan takdir sebab Engkaulah Tuhan Yang Maha Tinggi lagi Maha Perkasa.”

Setiap malam begitulah keadaan Rabi’ah. Apabila fajar menyinsing, Rabi’ah terus juga bermunajat dengan ungkapan seperti:

“Wahai Tuhanku! Malam yang akan pergi dan siang pula akan mengganti. Wahai malangnya diri! Apakah Engkau akan menerima malamku ini supaya aku berasa bahagia ataupun Engkau akan menolaknya maka aku diberikan takziah? Demi kemuliaan-Mu, jadikanlah caraku ini kekal selama Engkau menghidupkan aku dan bantulah aku di atasnya. Demi kemuliaan-Mu, jika Engkau menghalauku daripada pintu-Mu itu, nescaya aku akan tetap tidak bergerak juga dari situ disebabkan hatiku sangat cinta kepada-Mu.”

Seperkara menarik tentang diri Rabi’ah ialah dia menolak lamaran untuk berkahwin dengan alasan:

“Perkahwinan itu memang perlu bagi sesiapa yang mempunyai pilihan. Adapun aku tiada mempunyai pilihan untuk diriku. Aku adalah milik Tuhanku dan di bawah perintah-Nya. Aku tidak mempunyai apa-apa pun.”

Rabi’ah seolah-olah tidak mengenali yang lain daripada Allah. Oleh itu dia terus-menerus mencintai Allah semata-mata. Dia tidak mempunyai tujuan lain kecuali untuk mencapai keredaan Allah. Rabi’ah telah mempertalikan akalnya, pemikirannya dan perasaannya hanya kepada akhirat semata-mata. Dia sentiasa meletakkan kain kapannya di hadapannya dan sentiasa membelek-beleknya setiap hari.

Selama 30 tahun dia terus-menerus mengulangi kata-kata ini dalam sembahyangnya:

“Ya Tuhanku! Tenggelamkanlah aku di dalam kecintaan-Mu supaya tiada suatupun yang dapat memalingkan aku daripada-Mu.”

Antara syairnya yang masyhur berbunyi:

“Kekasihku tiada menyamai kekasih lain biar bagaimanapun, Tiada selain Dia di dalam hatiku mempunyai tempat manapun, Kekasihku ghaib daripada penglihatanku dan peribadiku sekalipun, Akan tetapi Dia tidak pernah ghaib di dalam hatiku walau sedetik pun.”

Rabi’ah telah membentuk satu cara yang luar biasa di dalam mencintai Allah. Dia menjadikan kecintaan pada Ilahi itu sebagai satu cara untuk membersihkan hati dan jiwa.

Dia memulakan fahaman sufinya dengan menanamkan rasa takut kepada kemurkaan Allah seperti yang pernah diluahkannya:

“Wahai Tuhanku! Apakah Engkau akan membakar dengan api hati yang mencintai-Mu dan lisan yang menyebut-Mu dan hamba yang takut kepada-Mu?”
Kecintaan Rabi’ah kepada Allah berjaya melewati pengharapan untuk beroleh syurga Allah semata-mata.

“Jika aku menyembah-Mu kerana takut daripada api neraka-Mu maka bakarlah aku di dalamnya! Dan jika aku menyembah-Mu kerana tamak kepada syurga-Mu maka haramkanlah aku daripadanya! Tetapi jika aku menyembah-Mu kerana kecintaanku kepada-Mu maka berikanlah aku balasan yang besar, berilah aku melihat wajah-Mu yang Maha Besar dan Maha Mulia itu.”

Begitulah keadaan kehidupan Rabi’ah yang ditakdirkan Allah untuk diuji dengan keimanan serta kecintaan kepada-Nya. Rabi’ah meninggal dunia pada 135 Hijrah iaitu ketika usianya menjangkau 80 tahun. Moga-moga Allah meredainya, amin!
Sekarang mari kita tinjau diri sendiri pula.

Adakah kita menyedari satu hakikat yang disebut oleh Allah di dalam Surah Ali Imran, ayat 142 yang bermaksud:

“Apakah kamu mengira bahawa kamu akan masuk syurga padahal belum nyata bagi Allah orang yang berjihad di antaramu dan belum nyata orang yang sabar.”

Bagaimana perasaan kita apabila insan yang kita kasihi menyinggung perasaan kita? Adakah kita terus berkecil hati dan meletakkan kesalahan kepada insan berkenaan?

Tidak terlintaskah untuk merasakan di dalam hati seumpama ini:

“Ya Allah! Ampunilah aku. Sesungguhnya hanya Engkau yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Hanya kasih-Mu yang abadi dan hanya hidup di sisi-Mu sahaja yang berkekalan. Selamatkanlah aku daripada tipu daya yang mengasyikkan.”

Sesungguhnya apa juga lintasan hati dan luahan rasa yang tercetus daripada kita bergantung kepada cara hati kita berhubung dengan Allah. Semakin kita kenali keluhuran cinta kepada Allah, maka bertambah erat pergantungan hati kita kepada Allah serta melahirkan keyakinan cinta dan kasih yang sentiasa subur.

Lanjutan itu jiwa kita tidak mudah berasa kecewa dengan gelagat sesama insan yang pelbagai ragam. Keadaan begini sebenarnya terlebih dahulu perlu dipupuk dengan melihat serta merenungi alam yang terbentang luas ini sebagai anugerah besar daripada Allah untuk maslahat kehidupan manusia. Kemudian cubalah hitung betapa banyaknya nikmat Allah kepada kita.

Dengan itu kita akan sedar bahawa kita sebenarnya hanya bergantung kepada Allah. Bermula dari sini kita akan mampu membina perasaan cinta terhadap Allah yang kemudian mesti diperkukuhkan dengan mencintai titah perintah Allah. Mudah-mudahan nanti kita juga akan menjadi perindu cinta Allah yang kekal abadi.

Paku dan Dosaku

Paku dan Dosaku
www.iLuvislam.com
oleh: petra





Manusia sering saja alpa tentang semua yang berlaku disekeliling mereka.Mereka sering menganggap mudah setiap inci perkara yang berlegar disekeliling mereka.Selagi aku juga manusia,maka aku juga salah seorang insan alpa yang tidak menyedari kesilapanku yang umpama titik-titik hitam yang menggelapkan seketul daging suci dalam diri.Aku pelajar IPTA yang bermusafir untuk mengejar cita-cita. Aku rasakan inilah perjuangan dan pengorbanan untuk aku membela nasib diri dan keluarga. Tetapi,itu tidak bermakna aku akan melupakan tanggungjawab aku sebagai anak. Lantas,aku sering pulang ke kampung halaman untuk menjenguk ibu bapaku yang bersusah payah di kampung demi menyara pengajianku di sini. Jika ada sahaja cuti,aku terus pulang ke kampung untuk menjenguk mereka. Manusia yang penuh kelemahan ini merasakan dirinya telah menjalankan tanggungjawabnya sebagai anak yang baik. Yelah….sekurang-kurangnya,aku sering pulang ke kampung daripada berpeleseran dengan kawan-kawan. Aku juga bersungguh-sungguh mengejar cita-cita aku tanpa melibatkan diri dalam masalah muda-mudi seperti couple dan mcam-macam lagi…Aku mengharapkan ibubapaku bangga dengan anaknya ini.

Manusia itu,sering terlupa dan terleka. Aku jujurnya tidak pernah terperasan setiap kesilapan dan kekhilafan yang mungkin kecil di mataku..Aku tidak pernah menghitung,berapa banyak kesakitan yang aku berikan terhadap qalbu insan-insan yang ku sayang. Hinggalah,aku tiba-tiba terasa tersedak dengan perbuatan aku sendiri.Suatu pagi yang hening,aku seperti hari-hari yang lain di kampungku, membantu ayahku yang merupakan seorang tukang rumah. Tiba-tiba,aku melihat ke suatu dinding. Dinding itu penuh dengan paku-paku yang tidak ku tahu apa tujuannya.`Mengapa paku-paku ini tercacak di dinding yang cantik ini?? Apakah tujuannya??`Itulah soalan yang terpancut keluar dari mulutku untuk lelaki tua yang timbul urat-urat jantannya kerana tenaga yang digunakan.`Ini adalah tanda yang ayah buat, setiap kali ayah merasakan engkau telah mengguris hati ayah. Tidak banyak yang engkau lakukan, tapi apabila dikumpul,engkau lihatlah dinding ini?`Aku benar-benar rasa terpukul dengan kealpaan aku selama ini. Aku tanamkan tekad untuk menghilangkan semua paku-paku itu dengan menebus kembali dosa dan noda yang aku lakukan terhadap mereka. Sejak hari itu,aku lebih menghargai dan berhati-hati dengan tindakan aku. Aku sedar,dengan hanya pulang ke kampung tidak akan melangsaikan tanggungjawab aku sebagai anak. Aku berusaha menjadi anak yang baik terhadap ibubapaku.Suatu hari, tangan tua ayahku menarik aku ke dinding yang dulunya penuh dengan paku-paku. Aku gembira kerana,kini paku-paku itu telah hilang. Lantas,aku terus bertanya pada lelaki yang sedang merenung aku dengan penuh hikmah.`Adakah ini bermakna,maka dosa-dosaku padamu telah terhapus,wahai ayahku?`Ayahnku cuma menjawab`anakku,kau lihatlah dinding ini,walaupun paku-paku ini telah hilang,adakah dinding ini masih sama seperti asalnya? Tidakkah kau melihat lubang-lubang,dan kesan-kesan dari paku yang telah ditusukkan terhadapnya. Engaku mempu mencabut paku itu,tapi bagaimana engkau ingin menjernihkan semula kesannya?`Aku benar-benar tersedak. Hanya air mata sahaja yang dapat menjawab setiap soalan dari ayahku itu. Ayahku telah mengajar aku bahawa,kesilapan itu,bukan sesuatu yang boleh dipandang ringan. Memang benar,Allah itu Maha Pengampun, tetapi dosa dengan manusia tidak akan mudah dihilangkan kesannya kerana hati manusia itu,sangat rapuh. Malahan sifat pengampun manusia takkan setanding dengan yang Maha Esa.Kadangkala,kita sering memohon maaf setelah melakukan kesilapan,dan dengan mudah kita mengganggap semua telah selesai. Sebenarnya,sering kita lupa,benarkan hanya dengan `maafkan saya` atau 'I am sorry`dapat melangsaikan segala hutang kesilapan kepada mereka. Sebenaranya,ucapan itu adalah untuk diri sendiri,bagi melegakan hati bahawa kita telah menjadi insan yang mulia dengan meminta maaf.Bagaimana pula dengan insan yang telah terguris hatinya?

Kesimpulannya,minimunkan kesilapan yang dilakukan dan jangan sekali-kali menganggap bahawa maaf hanya dengan lafaz semata-mata. Tapi,andai telah terlanjur,mohonlah kemaafan dengan penuh ikhlas dan keinsafan..Bagi insan yang menjadi mangsa,janganlah telalu meletakkan harga yang mahal terhadap sebuah kemaafan kerana kita hanya insan biasa yang penuh kekurangan.